Apr 11, 2011

Home » , , » Jangan dinilai Keikhlasan Manusia

Jangan dinilai Keikhlasan Manusia

Bila disebut tentang ikhlas, banyak perkara yang boleh kita gambarkan. Namun segala-galanya kembali kepada niat masing-masing sepertimana disabdakan daripada Nabi Muhammad saw:-

"Sesungguhnya apa amalan yang dilakukan itu adalah dengan niat"

Ikhlas itu sendiri sukar untuk kita ukur. Tidak ada lagi manusia yang mampu mencipta mesin mengukur ikhlas setakat apa yang ana tahu. Oleh sebab itulah kita tidak perlu mengukur keikhlasan manusia kerana memang sudah jelas ia bersifat subjektif dan tak perlu diukur. Tuan punya badan lebih tahu dia ikhlas ataupun tidak kerana ia bersangkut-paut dengan niatnya melakukan sesuatu perkara. Sama juga, kita tak mampu membaca apa yang terkandung di dalam hati manusia.

Ikhlas juga mampu dibentuk. Ramai orang yang mengelat nak solat bila disuruh solat keluarlah jangan dipaksa dalam Islam, jangan paksa solat, nanti tak ikhlas. Jadi nak tunggu ikhlas tue rasanya sampai ke sudah tak ikhlas-ikhlas lagi. Oleh yang demikian, perlunya paksaan dalam mentarbiyah seseorang di samping memberi kefahaman yang jelas agar apa yang dibuat itu sedikit demi sedikit membuahkan keikhlasan di hati. Kalau dulu kita malas solat, bila kita faham kepentingan solat dan cuba mujahadah diri untuk terus istiqamah bersolat, maka keikhlasan kita bersolat itu akan datang secara automatik. Contoh mudah orang yang ikhlas mengerjakan solat ialah dia akan rasa tak senang duduk kalau terlepas mahupun terlewat melaksanakan solat.

Jadi soal keikhlasan itu bukanlah pada kita untuk menjadi pengukur mahupun penilainya. Ini kerana ikhlas itu bersifat subjektif serta ia mampu dibentuk dari awal. Dari perspektif kepimpinan dan kuasa. Kita menyedari, Islam tertegak secara meluas melalui kuasa. Hijrah Nabi Muhammad saw daripada Mekah ke Madinah bukan sekadar hijrah tanpa asas dan tujuan tapi wujud strategi jangka panjang untuk kebangkitan Islam. Nabi menyedari Mekah ketika itu sukar ditembusi kekebalan jahiliyahnya, maka apabila datang kaum Aus dan Khazraj memberi jaminan dan kekuasaan kepada Nabi untuk memimpin mereka, maka inilah peluang untuk melebarluaskan dakwah Islam ke seluruh pelosok tanah Arab. Hasilnya, berlaku juga Fathu Mekah yang membebaskan Mekah daripada amalan jahiliyah.

Maka apakah yang menjadi kayu ukur keikhlasan dalam kepimpinan? Kita sedia maklum, tugasan memimpin dan menjadi ketua bukanlah satu tugas yang mudah. Ianya merupakan satu tugas berat yang perlu dipikul oleh seseorang itu sebaik mungkin. Secara logik akalnya, tak ada siapa pun yang mahu menerima amanah berat itu. Namun kalau disandarkan kepada kefahaman untuk kita menggunakan peluang menyebarkan Islam, kita perlu menerima amanah kepimpinan tersebut agar Islam itu bangkit semula.

Teringat kata-kata seorang panel forum ketika Simposium Kecemerlangan Belia baru-baru ini iaitu "Kita perlu menjadi gila kuasa supaya kita mampu mengambil kuasa daripada orang gila." Statement yang bagi ana menarik dan menjadi sebab kenapa perlunya orang yang ada kefahaman Islam memegang kekuasaan dan memimpin. Kerana itulah sandaran kita untuk terus memelihara kesucian dan ketinggian agama. Jadi di sini, keikhlasan itu timbul atas dasar kefahaman untuk terus memelihara ketinggian agama.

Secara khulasahnya, tak perlu menilai keikhlasan orang lain tanpa kita merenung diri kita sendiri. Apa yang penting itu adalah kita menyumbang untuk Islam. Jangan bergantung pada hasil kerana tugas dakwah ini bukanlah tugas yang mudah dan singkat tapi memerlukan proses berterusan dan berpanjangan.

Wallahua'lam


1 comments:

Amirah Ahmad said... [Reply to comment]

saya baru jumpa artikel ini,
terima kasih atas pandangan saudara dlm artikel ini, ianya menarik.

saya juga mengalami dilema apabila, segelintir rakan apabila berkelelahi, mereka akan menyebut'' Entah ikhlas atau tidak solat kau, mengaji kau.'' Terkesima saya, saya juga merasakan perkara ikhlas dalam ibadat tidak boleh dipertikaikan, apatah lg kita selaku manusia.

mohon respond permasalahan ini, terima kasih, Jazakallahu Khair