Mar 28, 2011

Home » , » Janganlah Zalimi Diri Sendiri

Janganlah Zalimi Diri Sendiri

Bercerita tentang kezaliman, manusia selalu menzalimi diri mereka sendiri. Selalu saja mengambil mudarat dari manfaat. Tak salah mengambil risiko untuk kebaikan. Yang menjadi masalah apabila kita mengambil mudarat untuk kepentingan dan kepuasan nafsu semata-mata. Sepatutnya kita mengambil 'ibrah daripada kisah Bani Israel yang menzalimi diri sendiri sehinggakan mereka ini mendapat kehinaan dan kemurkaan daripada Allah swt.


Kaum Bani Israel dikenali dengan banyaknya Rasul yang diutuskan dari kalangan mereka. Namun, mereka ini terlalu angkuh dan ada di antara Rasul yang diutuskan Allah kepada mereka dibunuh. Di dalam surah al-Baqarah tercatat banyak kisah dan peristiwa berkenaan kaum ini yang mana Allah menceritakan kisah-kisah tersebut sebagai pengajaran dan juga peringatan bahawa perkara seperti ini akan berlaku semula dan kita perlu berjaga-jaga dan elakkan kejadian seperti ini.

Dalam ayat 49 - 50 surah al-Baqarah, Allah telah menerangkan bagaimana Nabi Musa menjadi penyelamat kepada kaum Bani Israel dengan menyelamatkan mereka daripada Firaun:

وَإِذۡ نَجَّيۡنَـٰڪُم مِّنۡ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ يَسُومُونَكُمۡ سُوٓءَ ٱلۡعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبۡنَآءَكُمۡ وَيَسۡتَحۡيُونَ نِسَآءَكُمۡ‌ۚ  وَفِى ذَٲلِكُم بَلَآءٌ۬ مِّن رَّبِّكُمۡ عَظِيمٌ۬

وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَيۡنَـٰڪُمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ 

Maksudnya : "Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. (49) Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya. (50)"

Seterusnya dalam ayat ke 51, apabila Nabi Musa a.s. dipanggil Allah ke Bukit Sinai untuk mendapatkan wahyu Allah selama 40 hari, kaum Bani Israel telah menciptakan patung lembu dan menyembahnya. Begitu cepat mereka sesat daripada agama mereka. Sungguh mereka telah menzalimi diri mereka sendiri.

وَإِذۡ وَٲعَدۡنَا مُوسَىٰٓ أَرۡبَعِينَ لَيۡلَةً۬ ثُمَّ ٱتَّخَذۡتُمُ ٱلۡعِجۡلَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَنتُمۡ ظَـٰلِمُونَ

Maksudnya : "Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)."

Keangkuhan mereka jelas terserlah apabila Nabi Musa balik semula ke Mesir dan mendapati kaumnya menyembah selain daripada Allah lalu menyuruh mereka bertaubat. Maka kaum Bani Israel mencabar baginda dengan mengatakan mereka tak akan beriman melainkan mereka melihat Allah swt lalu Allah menghantar petir menyambar mereka sebagai peringatan dan Allah hidupkan kembali agar mereka bersyukur.

Kisah tersebut diceritakan secara jelas dalam ayat 55 - 56 dalam Surah al-Baqarah:

وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةً۬ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ 55
ثُمَّ بَعَثۡنَـٰكُم مِّنۢ بَعۡدِ مَوۡتِكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ 56

Maksudnya : "Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami). Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya. (55) Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur. (56)"

Begitulah sifat kaum Bani Israel dan sifat itu masih berterusan sehingga hari ini. Ayat-ayat Allah telah diturunkan sebagai peringatan kepada kita untuk menghadapi sifat mereka ini dan pada masa yang sama Allah mengingatkan manusia agar tidak bersifat sedemikian rupa.Oleh itu, selalulah muhasabah diri kita dan renung kembali di tahap mana kita berada kini.



Diekstrak daripada Kuliah Subuh Masjid An-Nur, UTP yang disampaikan oleh Ustaz Dawi Cahyono bin Nurdin

0 comments: