Jan 25, 2010

Home » , , , » Berilah Makan dan Salam kepada Saudara Seislam Kita Sama Ada Kita Kenal atau Tidak....=)

Berilah Makan dan Salam kepada Saudara Seislam Kita Sama Ada Kita Kenal atau Tidak....=)



Hadis 1
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a., katanya : Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Apakah sifat yang paling baik dalam Islam?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Memberikan makanan serta memberi salam sama ada kepada orang yang engkau kenali ataupun tidak."

Hadis 2
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a., katanya : Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. : "Apakah sifat orang Islam yang paling baik?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Seseorang yang terhindar orang-orang Islam yang lain dari (kejahatan) lidah dan tangannya."

Hadis 3
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku bertanya : "Ya Rasulullah! Apakah sifat orang Islam yang paling baik?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Seseorang yang terhindar orang-orang Islam dari (kejahatan) lidah dan tangannya."

Hadis dipetik dari kitab 100 Mutiara Hadis (Terjemahan dan Penjelasan Shahih Bukhari-Muslim) oleh Mohd Sofwan Amrullah. Cetakan Ketiga tahun 2007 dan diterbitakan oleh Pustaka Ilmi. Bahagian Sifat-Sifat Utama Orang Islam m/s 65-69.

Cuba kita renungi hadis pertama dan bezakan dengan hadis kedua. Hadis pertama soalan yang ditanya ialah "Apakah sifat yang paling baik dalam Islam?"manakala dalam hadis yang kedua dan ketiga soalan yang ditanya ialah "Apakah sifat orang Islam yang paling baik?" dan "Ya Rasulullah! Apakah sifat orang Islam yang paling baik?". Maka kita dapat bezakan perbuatan dan sifat. Perbuatan paling baik dalam Islam yang dihuraikan dalam hadis ialah memberi makan dan salam kepada orang Islam sama ada kita kenal atau tidak. Sifat orang Islam yang paling baik pula seperti dinyatakan di dalam hadis sama juga ertinya dengan tidak menganiayai dan menzalimi orang Islam yang lain.



Oleh itu kedua-dua ini patut dipegang oleh setiap manusia yang bergelar Muslim untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bukanlah susah untuk memberi salam kepada orang Muslim yang lain. Daripada kita berjumpa dan bertegur sapa dengan 'hoi', 'oi', 'wey', 'pahabaq', 'pekabo' dan lain-lain, lebih baik kita ucapkan Assalamualaikum yang maksudnya Sejahtera ke atas kalian. Bukankan itu lebih lembut dan mendalam maknanya. Bait kata-kata salam yang disebut itu sama seperti kita mendoakan saudara seislam kita dan mengikat hubungan silaturrahim. Apabila kita mengikat hubungan silaturrahim dan merapatkannya maka adakah kita akan tergamak menganiayai dan menzalimi mereka apabila kita sudah sayang-menyayangi kerana Allah? Sudah tentu tidak melainkan kuatnya penyakit hati yang bertapak dalam diri.



Samalah juga apabila kita melakukan perbuatan sekecil memberi makanan kepada saudara seislam tak kira kita kenal atau tidak. Perbuatan ini dapat membina dan mengukuhkan hubungan persaudaraan Islam sesama kita. Jadi apabila kita sering memberi makanan kepada saudara kita, adakah tergamak mereka menzalimi kita dan berkata sesuatu yang buruk kepada kita? Sudah tentu juga tidak malah kita akan disebut-sebut kerana perbuatan baik yang kita lakukan terhadap mereka. Maka inilah yang menghasilkan dan menjadi kemanisan iman ataupun halawatul iman dalam diri seorang Muslim kerana terdapat sabda Rasulullah s.a.w :





Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya : Nabi s.a.w. telah bersabda : "Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya" atau baginda Rasul bersabda "Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri."

Maka inilah sifat ataupun akhlak yang kita sebagai Muslim patut tonjolkan dan jadikan sebagai dakwah untuk menunjukkan sifat Muslim yang sebenarnya diajar oleh Rasulullah s.a.w. Jadi segala yang khilaf itu bukakanlah hati untuk meminta dan memberi maaf. Berlapang dada jugalah atas perkara yang khilaf itu dan wujudkanlah kesatuan dalam Ummah demi mencapai kegemilangan Islam dan menegakkan Khilafah Islamiah di muka bumi Allah suatu hari nanti. Insya Allah.

1 comments:

-li.zue- said... [Reply to comment]

maka.kesimpulannya.
kita tak bolehlah kedekut2 bab makanan! hoho