"Kita telah mengakui bahawa terdapat persamaan yang besar antara marhalah kita ini dengan marhalah pertama dakwah Islam di Mekah. Iaitu tentang asingnya dakwah Islam ditengah-tengah jahiliah yang menguasai setiap penjuru dunia, tekanan golongan kufur dengan seluruh kekuatannya ke atas mereka dan sedikitnya bilangan mukmin yang terdedah kepada penindasan yang sangat ganas dari pihak jahiliah yang berkuasa ketika itu."
Begitulah yang diterangkan Syekih Mustapha Masyhur dalam kitab beliau Tariq Ad-Dakwah dalam tajuk marhalah dakwah dan tuntutannya. Beliau menerangkan tentang persamaan pergerakan jemaah Ikhwanul Muslimin yang bergerak di Mesir dengan marhalah dakwah yang dibawa oleh Rasulullah saw dalam menyebarluaskan Islam pada ketika itu. Hakikatnya pada masa ini di Malaysia juga terjadi perkara yang sama apabila begitu asing pandangan manusia terhadap Islam. Mudah kata, siapa yang mengamalkan Islam akan dipandang pelik oleh orang lain. Tak percaya, cubalah sendiri contohnya baca al-quran dalam LRT atau komuter dan lihat reaksi orang di sekeliling. Kalau reaksi yang diperoleh adalah dipandang pelik, orang tanya nak mintak sedekah ke ape ke, itu contoh betapa Islam itu asing. Kalaulah reaksinya berbeza, maka mungkin anda berada di keliling orang yang memahami hakikat pengamalan Islam.
Memang ada hadis daripada Rasulullah sendiri berkenaan Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali semula dalam keadaan asing. Jadi inilah apa yang telah digambarkan Rasulullah dengan bagaimana keadaan manusia yang kembali tidak mengenali Islam. Mungkin ana yang menaip nie pun tak memahami Islam secara keseluruhannya tapi andai kata kita ada walaupun sedikit kefahaman dan kesedaran itu sudah cukup memadai untuk kita menyebarkan apa yang kita tahu sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.
Berbalik kepada apa yang ingin diterangkan, Syeikh Mustapha Masyhur telah menghuraikan 3 marhalah dakwah iaitu marhalah ta'rif, takwin dan tanfiz. Marhalah-marhalah ini boleh digunakan sebagai satu kaedah dalam kita menyebarluaskan dakwah kepada manusia secara tersusun dan bersistem.
Marhalah Ta'rif ataupun peringkat pengenalan dihuraikan sebagai marhalah propaganda, memperkenalkan, menggambarkan fikrah dan menyampaikan kepada orang ramai di setiap lapisan masyarakat. Perlu difahami term masyarakat itu tidaklah merujuk kepada satu masyarakat yang besar seperti gambarannya adalah suatu negara mahupun negeri atau daerah. Masyarakat juga boleh difahami sebagai golongan manusia yang berada di sesuatu tempat yang hidup dalam suasana yang sama sebagai contoh masyarakat kampus yang majoriti utamanya adalah golongan pelajar. Maka penyampaiannya adalah berbeza dalam setiap lapisan masyarakat.
Marhalah Takwin ataupun peringkat pembentukan pula adalah lanjutan daripada peringkat pengenalan yang mana kita memilih golongan pendokong untuk meneruskan pembawaan dakwah kita kepada masyarakat. Menurut kata-kata Syed Qutb, kita bukan pemula mahupun penutup perjuangan tapi kita adalah penerus mata rantai perjuangan Islam. Jadi untuk memastikan kelangsungan perjuangan Islam ini, perlunya kita merekrut penerus mata rantai ini agar ia tidak terputus di tengah jalan. Maka perlunya golongan pelapis dalam perjuangan yang perlu dibentuk terlebih dahulu sebelum diletakkan di medan sebenar.
Seterusnya ialah Marhalah Tanfiz ataupun peringkat perlaksanaan yang mana pada peringkat ini akan terus kepada perlaksanaan, amal dan bergerak mencapai matlamat dalam perjuangan. Pada peringkat ini, setiap du'at akan berhadapan dengan medan sebenar setelah dididik dan dibentuk pada peringkat pembentukan sebelum itu. Maka di sinilah ujian sebenar yang akan dihadapi oleh setiap yang bergelar dai'e.
Perlu diingatkan bahawa ketiga-tiga marhalah ini perlu dilaksanakan secara seiring dan diselaraskan memandangkan kesatuan dan kekuatan dakwah adalah bergantung kepada percantuman di antara satu dengan seluruhnya. Oleh itu para pendokong dakwah di dalam berdakwah, mestilah memilih dan membentuk dan di waktu yang sama dia beramal dan melaksanakan apa yang boleh dilaksanakan.
Akhir sekali, ayuh kita renungi firman Allah dalam surah al-An'aam ayat 153 dan juga mutiara kata daripada as-Syahid Imam Hassan al-Banna ini dan cuba kita terjemahkan ia dalam perjuangan kita pada masa kini. Insya-Allah bermanfaat.
Firman Allah dalam surah al-An'aam ayat 153
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa."
Mutiara Kata as-Syahid Imam Hassan al-Banna
"Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara: Iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah, kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat, pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan, dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh. Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya"
0 comments:
Post a Comment