Apabila disebut perkataan Cinta ataupun Love dalam bahasa Inggerisnya ataupun 愛 (Ai) dalam bahasa Jepunnya ataupun disebut dalam bahasa Korea sebagai (sarang) 사랑 dan dalam bahasa Arabnya ialah حب (Habba), banyak tafsiran yang akan timbul dalam fikiran apabila disebut perkataan ini.
Menurut Wikipedia,
"Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara perorangan, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain. Ia dapat ditunjukkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menetukan pola utama hubungan antara perorangan dan pengenalan diri."
Jika benarlah definisi ini kita boleh mengatakan pada cinta itu ada satu macam daya tarikan ke arah sesuatu yang mana hati kita berasa senang dengannya. Namun apabila kita renung kembali dan kita hayati kembali. Dari mana datangnya perasaan ini? Apa yang sebenar-benarnya kita cintai? Apa sumber rasa cinta ini? Maka apabila kita memikirkan perasaan ini yang hadir secara semulajadi pada diri manusia, terserlahlah kehebatan Sang Pencipta (Allah swt) yang telah meminjamkan manusia satu perasaan yang unik yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata.
Namun apabila kita hayati semula takrifan yang diberi oleh wikipedia itu, kita akan dapati takrifannya hampir sama dengan takrifan yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali berkaitan cinta. Menurut Imam al-Ghazali,
"Cinta merupakan kecenderungan jiwa yang amat kuat dalam diri seseorang kepada sesuatu atau seseorang lain yang boleh memberi kelazatan, manfaat dan sangat serasi dengan fitrahnya (tabiat)."
Fitrah manusia itu sukakan kepada kecantikan dan kesempurnaan. Maka jika kita menilai semua segala yang cantik dan sempurna itu, maka pemiliknya tak lain tak bukan adalah Allah swt. Allahlah yang paling cantik dan paling sempurna. Maka cinta kita secara sedar ataupun tidak menjurus kepada rasa cinta kepada Allah swt. Allah mencintai kita lebih daripada orang lain mencintai kita. Oleh itu, selayaknyalah Allah mendapat tempat pertama dalam senarai cinta kita dan bukanlah ibu bapa, isteri, mahupun kekasih hati kita.
Kalau kita katakan kerana kekasih hati sanggup meredah lautan api segala bagai, maka kerana cinta kita kepada Allah, kita akan sanggup buat lebih lagi daripada itu kerana Allah itu lebih layak menduduki tempat pertama dalam cinta kita. Rasa cinta yang kita ada ini juga datangnya dari Allah swt.
Firman Allah:-
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَشَدُّ حُبًّ۬ا لِّلَّهِۗ
Maksudnya: "Sedangkan orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaanya kepada Allah"
Daripada firman Allah ini terjawablah persoalan mengapakah sungguh hebat rasa cinta pada Allah yang ada pada diri seorang Mu'min. Rasa cinta itu bukan sekadar satu perasaan malah ditafsirkan dengan perbuatan apabila dekatnya mereka dengan Allah, takutnya mereka melakukan maksiat di hadapan Allah yang sangat mereka cintai dan betapa khusyuknya ibadah mereka untuk berhadapan dengan Allah. Itulah kemanisan hidup di dunia apabila kita mencintai Allah dan Allah mencintai kita.
Namun, fenomena umat masa kini adalah tafsiran cinta mereka telah jauh menyimpang. Mereka kenal Allah tapi mereka tak sedar mereka cinta Allah. Mereka mentafsirkan cinta mereka itu lebih kepada manusia yang mana telah disebut tadi sebagai kekasih hati (merujuk pada couple). Itu juga adalah fitrah namun perlulah beralaskan keimanan kepada Allah swt dan perlulah melalui kaedah yang betul berlandaskan syariat Islam.
Andai rasa cinta itu ditafsirkan dengan nafsu, maka itulah punca banyaknya maksiat yang berlaku. Itulah punca masalah hati kita. Sebab itulah mereka sanggup meredah lautan api kerana cinta kepada kekasih hati. Kalau cinta kepada Allah dan nak menegakkan agama Allah tak ada pula yang sanggup. Sungguh itu adalah perkara yang berat, namun bagi orang yang mengungkapkannya sepatutnya lebih sanggup kalau menegakkan agama Allah kerana cinta Allah itu nombor satu. Sekadar satu andaian kepada orang yang bercinta. Nak bagitahu mereka cinta Allah itu perlu mengatasi cinta kepada manusia.
Oleh itu, ayuh kita mencintai Allah agar Allah mencintai kita seperti yang disebut dalam surah al-Maidah ayat 54
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬ۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya."
Moga bermanfaat...
p/s: doakan ana untuk final exam ye, saja update blog sebentar selepas revision. Release tension sket. Maaf kalau penyampaian kali ini agak tidak tersusun.
1 comments:
subhanallah
Post a Comment