Banyak entry-entry yang ana baca di blog sahabat-sahabat blogger kali ini bunyinya agak emosional. Seolah-olah bertimpa-timpa masalah yang datang menyelubungi diri. Memang kehidupan ini tak lekang daripada masalah. Tapi yang penting adalah bagaimana kita berkonfrontasi dengan masalah yang kita hadapi. Jangan jadikan masalah yang datang kepada kita sebagai asbab untuk kita melarikan diri daripada tujuan kehidupan kita, cita-cita kita, perjuangan kita dan sebagainya. Masalah tak akan pernah habis. Andai kita lari sejauh-jauhnya daripada masalah itu sekalipun akan datang pula masalah lain.
Contoh mudah kita boleh tengok di drama-drama, sinetron-sinetron, cerita korea, cerita jepun dan juga movie di panggung wayang dan juga cerpen-cerpen atau novel. Semua ini mempunyai plotnya tersendiri bermula dengan permulaan, timbul konflik, klimaks dan peleraian. Kalau kita buat cerita yang watak itu tak menerima sebarang masalah dalam kehidupannya, kisah itu nampak dull atau bak kata orang kampung ana 'ceroi'. Maka masalah yang sering kita hadapi dalam kehidupan inilah yang menjadi rencah kehidupan kita yang menjadikan hidup kita lebih menarik.
Andai kita renung kembali masa silam kita ketika menempuh alam kanak-kanak, alam persekolahan dan sebagainya, ketika itu juga kita dilanda berbagai masalah namun masalah itu akhirnya selesai juga. Bila diingatkan semula, kita akan tergelak sendirian. Rupa-rupanya masalah inilah yang membentuk siapa kita pada masa ini. Masalah yang pernah timbul itu jugalah yang membantu mematangkan proses pemikiran kita. Jadi kalau kita lari daripada masalah, kita akan stress selama-lamanya kerana masalah dan bebanan itu sentiasa bertambah dan tak akan berkurang.
Firman Allah swt dalam Surah Ali-Imran ayat 200:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Orang yang bersabar inilah yang telah menempah tiket kejayaan untuk dirinya dalam kehidupan. Tak ada yang lebih sabar melainkan Allah swt. Allah disekutukan dengan banyak benda. Ada orang kata Allah ada anak dan ada Isteri. Ada yang kata Tuhan ada banyak dan lain-lain. Ini semua menghina kewujudan Allah swt tapi adakah Allah terus menghukum mereka? Tidak juga. Sifat ar-Rahman Allah itu kepada semua umat manusia tanpa mengira agama. Kerana sifat pemurah Allah jualah manusia beroleh kejayaan dan kekayaan di dunia. Tapi ada juga yang tidak pernah bersyukur malah berbangga diri. Bila ditarik kekayaan dan nikmat dunia sebagai ujian. Allah pula yang disalahkan.
Umar al-Khattab berkata:
Dengan kesabaran, kita tahu makna hidup yang baik.
Seperti yang ana telah nyatakan, dengan kesabaran inilah memberi makna kehidupan bagi kita. Setiap masalah yang dihadapi dengan penuh kesabaran membantu proses kehidupan kita sekaligus menambah keyakinan kita kepada Allah swt. Allah tidak jadikan musibah dan masalah itu secara suka-suka melainkan ada hikmah disebaliknya. Kita diuji dengan bermacam-macam ujian dan dugaan. Apabila kita sabar menempuh segala ujian tersebut, kita memperoleh pulangan yang tidak terjangka. Siapa tahu rezeki Allah itu wujud di sebalik masalah yang dihadapi.
Seorang pujangga bermadah:
Engkau merangkak mencari mulia
dan orang-orang yang mencarinya berusaha sepenuh jiwa menempuh keletihan.
Mereka mengejar mulia hingga banyak yang jemu.
Yang akan menemukannya hanya yang bersunguh-sungguh dan bersabar.
Jangan menyangka bahawa mulia adalah kurma yang akan engkau makan.
Tidak akan pernah engkau perolehi kemuliaan sebelum susahnya sabar.
Teringat kembali ketika ana menghadiri liqa' Rakan Masjid pada semester yang lepas. Ada ditayangkan video temubual bersama penasihat-penasihat Rakan Masjid iaitu Ustaz Dawi Cahyono, Ustaz Rahmat dan juga Ustaz Zuriat yang juga merupakan staf Unit Pentadbiran Masjid di UTP. Yang ana ingat ialah jawapan Ustaz Rahmat apabila ditanya mengenai pengalaman pahit dan manis selama berada dalam perjuangan Islam. Jawapan ustaz sangat ringkas.
Bagi saya, semua yang pahit itu adalah permulaan kepada yang manis.
Sangat ringkas tapi penuh dengan makna tersirat di sebalik jawapan yang diberikan. Memang benarlah kata-kata ustaz itu. Kita tak akan rasa kesenangan tanpa kita melalui kesusahan. Untuk melalui kesusahan pula kita perlu ada sifat sabar agar tidak mudah berputus asa. Tak akan terasa juga kemanisan iman andai tidak diuji dengan dugaan yang mengukuhkan iman kita. Inilah yang difirmankan Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2:
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ
Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Maka, janganlah bersedih dan berdukacita apabila berhadapan dengan masalah, dan dugaan kerana apabila ia dihadapi dengan kesabaran, pasti akan membuahkan kemanisan dan kejayaan.
0 comments:
Post a Comment