Dec 30, 2008

Home » » Mehnah dan Tribulasi dalam Perjuangan : Rahmat atau Peringatan dari Allah?

Mehnah dan Tribulasi dalam Perjuangan : Rahmat atau Peringatan dari Allah?

Setiap manusia yang berdakwah di muka bumi Allah s.w.t. ini ada cara mereka sendiri. Setiap pendakwah akan menggunakan method tersendiri dalam melaksanakan dakwah mereka agar diterima kelompok masyarakat. Setiap Jamaah Islam di dunia ini menggunakan cara yang berbeza dalam mendekati dan memahami serta menjiwai masyarakat mereka untuk menanamkan fikrah Islamiah dalam diri masyarakat. Masyarakat itu pula tidak kurang hebatnya dengan terdiri dari beberapa kelompok kumpulan. Mungkin ada 3 kumpulan iaitu penyokong, penentang dan orang yang mengambil tindakan berkecuali. Namun begitu, inilah kerenah masyarakat yang perlu difahami oleh setiap pendakwah dalam menyebarkan agama Allah yamg mulia ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Pendakwah-pendakwah juga tidak akan pernah terlepas dari menghadapi segala mehnah dan tribulasi dalam usaha mereka berdakwah kepada masyarakat. Kata orang, ini adalah lumrah orang yang berdakwah. Para Nabi dan Rasul dahulu juga menerima tentangan yang sama malah lebih dahsyat lagi. Inilah yang selalu ditanam dalam diri mad’u oleh dai’e yang mendidik mereka. Apabila direnung kembali, segala mehnah dan tribulasi ini sebenarnya menjadi kayu ukur kekuatan iman kita tanpa kita sedari walaupun sedikit. Namun perkara ini telahpun dinyatakan Allah dalam FirmanNya :

“Alif Lam Min. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-‘Ankabut : Ayat 1-3)

Nabi juga pernah bersabda dalam hadisnya :

“Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.”

“Sesungguhnya Allah s.w.t. apabila mengasihi satu kaum, dicubanya mereka itu (dengan berbagai cubaan), barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNya (Allah s.w.t.). Barangsiapa yang benci (marah) maka baginya kemurkaan Allah s.w.t.”

Oleh itu, jelas di sini bahawa pengakuan iman itu sendiri memerlukan pembuktian. Secara analoginya kita andaikan seseorang mekanik kereta tidak akan dikira pandai membaiki kereta sekiranya dia tidak diuji dengan teknik sebenar membaiki kereta. Maknanya, untuk membuktikan dia ialah seorang mekanik dia perlu mencari kereta yang rosak untuk dibaiki. Jelas juga di sini, untuk membuktikan keimanan kita kepada Allah s.w.t. kita perlu berjihad kepadaNya dalam segala jenis jihad yang diterima Allah s.w.t. Hal ini kerana “Jalan syurga dihampiri oleh kesusahan manakala jalan neraka dihampiri oleh keghairahan syahwat.”

Jadi, cuba kita renungi mehnah dan tribulasi yang telah dihadapi oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan kebenaran kepada umatnya suatu ketika dahulu. Rasulullah telah ditimpa dengan berbagai-bagai ujian dan dugaan yang pada zahirnya mampu untuk melunturkan semangat kita dalam perjuangan. Dakwah Rasulullah di Taif yang berakhir dengan kanak-kanak melempar batu ke arah baginda sehingga dikatakan darah yang mengalir berkocak pada capal baginda. Alangkah bertuahnya kita di zaman moden ini yang hanya menerima ujian yang lebih ringan daripada itu. Walau seberat mana ujian yang telah Allah hamparkan atas bahu Nabi untuk dipikul, namun baginda menggalasnya dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawa Allah pasti membantunya. Kita juga boleh meneladani tokoh-tokoh Islam yang masyhur. Kebanyakan mereka juga menerima ujian yang sangat berat seperti mana yang dihadapi oleh Para Sahabat dan beberapa tokoh lain seperti Salahuddin al-Ayubi, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Hassan al-Banna, Syed Qutb, Zainab al-Ghazali, Syed Ahmad Yaasin, Abdul Aziz Rantisi, Imam Abu Hanifah, Saidina Hassan, Saidina Hussin dan lain-lain.

Cukup dengan sejarah mereka menjadi satu peniup semangat dalam diri kita untuk menghancurkan toghut yang begitu hebat menentang Islam. Cukup dengan membaca sejarah mereka dapat meniupkan semangat juang yang berkobar-kobar dalam diri kita untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. Oleh itu ingatlah wahai sahabat, wahai teman seperjuangan, sama-samalah kita berganding bahu, bersatu tenaga dalam menegakkan syiar Islam atas muka bumi Allah ini. Jadikanlah ujian yang dihadapi sebagai minuman kepada keimanan kita agar terus bertenaga dan subur dalam jiwa kita Insya-Allah.

0 comments: