Beberapa perkara yang perlu kita renung-renungkan apabila kita bergelar seorang aktivis Islam ialah apa tujuan kita bergerak dan atas dasar apa kita memperjuangkan Islam. Maka untuk kita masing-masing jelas dengan kerja buat kita selama ini kita perlu kuasai dan hadam walaupun perkara asas daripada 10 ilmu seperti yang diusulkan Syeikh Said Hawa di dalam kitabnya Jundullah Thaqafan Wa Akhlakan. 10 ilmu itu ialah ilmu tafsir, hadith, fiqh, tauhid, tasawuf, usul fiqh, bahasa arab, sirah, tayyarat (aliran pemikiran zaman moden) & fiqh dakwah. Kebanyakan kita kini mungkin mahir dalam bidang sirah, fiqh dakwah dan tayyarat yang mana ini adalah ilmu yang membentuk kepemimpinan seseorang.
Namun kita perlu sedar sifat kepemimpinan itu akan terhasil daripada penguasaan kita terhadap ilmu-ilmu asas Islam yang mana diwakili 5 daripada 10 ilmu yang perlu dikuasai iaitu ilmu tafsir, hadith, fiqh, tauhid & tasawuf. Hasil daripada 5 ilmu ini kita mampu menguasai ilmu tayyarat & fiqh dakwah secara tak langsung dan memahaminya dengan lebih jelas. 3 lagi ilmu adalah sebagai pemangkin ataupun alat yang digunapakai iaitu ilmu bahasa arab, usul fiqh & sirah. Memang secara lahiriahnya kita tak mampu dan tak layak menjadi seorang ulama' tauhid, mufassir, muhaddis, fuqaha' & ahli sufi kerana kekurangan yang ada pada kita selaku umat akhir zaman, namun keperluan untuk mengetahui asas-asas dan sedikit sebanyak mendalami ilmu ini adalah satu keperluan untuk kita diperjelaskan kenapa kita nak tegakkan Islam. Natijah daripada 10 ilmu ini akan melahirkan individu yang hebat dalam ilmu haraki dan kepimpinan serta hebat di medan siasah.
Untuk konteks perbincangan kita kali ini pula kita lebih fokus kepada melihat mana yang lebih utama, sekadar berjuang untuk mengislahkan manusia daripada bawah ataupun kita nak memperjuangkan daulah. Maka peripentingnya memahami 10 ilmu yang dinyatakan itu untuk kita memahami perjuangan kita berdasarkan kefahaman yang benar dan mengikut syarak. Jadi ada pihak yang berpendapat dengan mendapatkan kuasa (mandapatkan daulah) itu penting dan ada pihak yang lain pula mengatakan mengislah dari bawah itu lebih penting. Maka mana satu yang sebenar-benarnya penting sedangkan kedua-dua perkara ini adalah sama penting? Atas asas apa kita perlu menilai kedua-dua pendapat ini?
Jawapan kepada persoalan kita akan peroleh apabila kita mendalami ilmu Fiqh yang berkaitan dengan jihad. Jihad terbahagi kepada dua iaitu Jihad Am dan Jihad Khas. Jihad Am adalah dengan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar manakala Jihad Khas adalah berjuang menegakkan Islam dan menjatuhkan toghut dengan menggantikan toghut itu dengan Islam. Maka dalam konteks ini, mendapatkan kuasa itu merupakan satu jihad khas dan telah difatwakan sebagai fardhu ain untuk dilaksanakan kerana umat Islam masa kini tidak dinaungi oleh seorang khalifah. Jadi selesai persoalan itu namun ada pula yang mengatakan membina daulah ini adalah suatu perkara yang besar dan belum perlu diambil perhatian, maka mereka menumpukan kepada islah dari bawah. Persoalannya, sampai bila nak islah dari bawah? Manusia tak pernah sempurna. Soalnya bukan besar atau kecil tapi wajib atau tidak mendapatkan daulah itu. Fardhu ain atau fardhu kifayah. Hanya kerana memperjuangkan daulah itu suatu perkara yang besar maka ia tak diberi perhatian padahal hukumnya fardhu ain. Ini satu perkara yang direnungi.
Jadi, secara konklusinya yang ana dapat simpulkan adalah tak salah perjuang daulah dan tak salah untuk islah diri. Kedua-duanya kena digerakkan seiring barulah dikatakan syumul dan melengkapi ciri-ciri Islam iaitu Rabbaniyyah, Syumuliyyah, 'Alamiyyah, Thabat wa Murunah, Inqilabiyyah dan Waq'iyyah. Seterusnya, peri pentingnya kita terus menuntut ilmu islam walaupun kita bukanlah berada dalam bidang syariah, usuluddin mahupun ilmu wahyu kerana dengan kefahaman itulah kita akan lebih jelas dengan apa yang kita perjuangkan. Insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment