Dec 26, 2008

Home » » Pengertian Taqwa

Pengertian Taqwa

Kita sering mendengar di dalam khutbah Jumaat yang mana khatib menyeru kita supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kerana dengan taqwa kita kepada Allah akan menjadikan kita berjaya dalam kehidupan. Walaupun begitu apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh taqwa?

Para Cendekiawan Islam, para Sahabat, Ulama’ salaf dan khalaf mempunyai pendapat berbeza mengenai taqwa ini hatta ahli sufi juga mempunyai pendapat mereka sendiri dalam mendefinisikan erti taqwa. Walau pendefinisian mereka dalam huraian dan kata-kata yang berbeza namun ia mempunyai tujuan dan maksud yang sama iaitu menjelaskan hakikat taqwa.

Berikut dicatatkan ayat2 yang disusun oleh para cendekiawan Islam, sahabat dan tabiin dalam kalangan khalaf dan salaf dalam menghuraikan makna taqwa.
Dialog antara Umar al-Khattab dengan Ubai bin Ka’ab
o Amirul Mukminin, Umar bin al-Khattab bertanya kepada Ubai bin Kaab, “Apakah hakikat taqwa?”
o Ubai bertanya pula, “Pernahah Amirul Mukminin berjalan di jalan yang banyak onak dan duri?”
o Umar menjawab, “Ya.”
o Ubai bertanya kembali, “Bagaimana?”
o Umar menjawab, “Aku berjalan dengan waspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak ataupun terpijak onak dan duri.”
o Ubai menegaskan, “Itulah hakikat taqwa.”

Ali bin Abu Talibmenegaskan, “Taqwa itu ialah meninggalkan daripada melakukan maksiat dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan.”
Ibnu Abbas menyatakan, “Orang yang bertaqwa itu adalah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan apa yang didorong oleh hawa nafsu kepadanya, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya kepada apa-apa yang datang daripadanya.”
Al-Hassan menegaskan, “Taqwa itu ialah menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.”
Al-Kalbi dan al-Aa’masy menyatakan, “Taqwa ialah menjauhkan diri daripada dosa besar.”
Al-Tobari menegaskan, taqwa ialah takutkan Allah. Sekiranya melakukan tegahannya lalu meninggalkannya, dan takutkan Allah pada perintah-Nya dalam perkara yang diwajibkan lalu menunaikannya.
Ibnu Kathir menegaskan, perkataan taqwa berasal daripada kalimah ( Tawaqqi ) iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini.
Muhammad bin Allan menegaskan, “Taqwa ialah mematuhi perintah-perintah Allah dan menghindari larangan-larangannya dengan mengerjakan setiap yang diperintah dan meninggalkan setiap yang dilarang, mengikut kemampuan.”
Abul Muzaffar Mansur al-Sam’ani menegaskan, taqwa bermakna penghalang daripada yang dibenci, antaranya mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya yang menjadi penghalang daripada azab neraka.
Abdul Rahman al-Sa’idi menegaskan hakikat taqwa ialah mengambil cara memelihara diri daripada kemarahan Allah dan azab-Nya dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala larangan serta mengambil petunjuk-Nya dan mengambil manfaat daripadapetunjuk itu. Taqwa itu dilakukan dengan aqidah, amalan zahir dan batin.

Berikut adalah huraian daripada para cendekiawan Islam dalam memahami hakikat Taqwa. Mereka mempunyai berbagai cara dalam menerangkan maksudnya tapi masih lagi mempunyai maksud dan tujuan yang sama iaitu takut kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Namun begitu jangan pula diabaikan al-Quran dan Sunnah kerana perkataan Taqwa ini banyak disebut dalam al-Quran dan al-Hadis. Ini membuktikan betapa tinggi mukjizat al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh itu marilah kita sama-sama memanfaatkan segala kemudahan yang ada dengan mempertingkat keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Semoga kehidupan kita dilimpahi rahmat dan inayah-Nya dalam mengharungi mehnah dan tribulasi yang melanda umat Islam seluruh dunia.

(Dirujuk pada buku Taqwa:Takut Tapi Rindu Karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)

0 comments: